Monday, September 11, 2006
Coretan Jauhari #2
Kisah Biskut


Seorang wanita di lapangan terbang sedang menunggu waktu penerbangannya. Sambil menunggu, dia makan biskut yang dibelinya sebelum itu dan membaca buku cerita. Sedang dia makan dia terperasan yang lelaki di sebelahnya turut mengambil biskut dari bungkusan yang sama yang terletak di sebelahnya.

Setiap keping biskut yang dia ambil lelaki itu turut ambil sama. Di dalam hati wanita itu menyumpah-nyumpah lelaki itu.

"Alangkah tak malunya lelaki ni... dah la tak mintak dari aku... makan sama banyak dengan aku pulak tu...Pencuri!!" rungut wanita itu dalam hati.

Dalam pada itu, lelaki itu dengan muka yang tenang terus dengan perbuatannya. Hinggalah sampai ke biskut yang terakhir yang terdapat dalam bungkusan itu. Wanita itu menunggu reaksi dari lelaki itu. Sambil tersenyum lelaki itu mengambil biskut yang terakhir itu lalu dipatah dua lantas memberikan separuh darinya kepada wanita itu. Wanita itu menjadi begitu marah namun dia tetap menahan dirinya dari memarahi lelaki itu.

Sambil merampas dengan kasar biskut yang separuh itu dan menunjukkan mukanya yang masam mencuka, wanita itu berkata dalam hatinya.

"Biadap sungguh lelaki ni. Memang muka tak malu. Pencuri besar." kata hatinya dengan marah.

Kedua-dua wanita dan lelaki itu terus duduk sehingga panggilan untuk menaiki pesawat untuk wanita itu sampai. Sambil menarik nafas lega seolah baru lepas dari satu kejadian ngeri wanita itu bergerak menaiki pesawatnya.

Apabila dia sampai di tempat duduknya beliau membuka beg kecilnya untuk mengambil barang. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat satu bungkusan biskut berada di dalam begnya dan ia masih elok belum dibuka.

"Jika biskut ini ada dalam beg aku jadi bermakna biskut yang aku makan tadi..." getusnya.

Ya... biskut yang dimakannya tadi adalah kepunyaan lelaki itu. Alangkah malunya dia atas segala tindakannya terhadap lelaki itu. Lelaki itu sanggup berkongsi biskut dengannya sehingga biskut yang terakhir biarpun dari awal lagi wanita itu telah menunjukkan reaksi marahnya.

Untuk meminta maaf sudah terlambat namun hatinya penuh kekesalan kerana bersifat kedekut dan tidak mahu berkongsi dengan orang lain. Kini dia menyedari bahawa dialah pencuri biskut yang sebenar.

Sumber: Teratak Anna Abadi

* * *
Fikirkan soalan-soalan berikut dan berikan pendapat di blog peribadi kamu.

1. Apakah yang berlaku jika wanita itu memarahi lelaki tersebut?
2. Jika kamu menjadi wanita itu, apakah yang akan kamu lakukan kepada lelaki tersebut?
3. Apakah moral atau pengajaran yang kamu perolehi dari cerita di atas?
 
Kiriman oleh widzgeek pada 8:17 PM | Permalink | 0 komentar
Friday, September 01, 2006
Terima kasih daun keladi
Assalamu'alaikum murid-murid.

Cikgu mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah memberikan cikgu hadiah-hadiah sempena Hari Guru. Cikgu ingin ingatkan kamu semua, apa yang penting bagi diri cikgu ialah supaya murid-murid 5 Jauhari dapat belajar dengan bijak apabila cuti sekolah dibuka. Cikgu harap apa yang telah cikgu ingatkan beberapa hari tentang tingkah laku dan juga peribadi kamu menjadi pedoman kepada semua.

Ingatlah,
tiada ertinya paras rupa
tanpa akhlak mulia
Ingatlah,
tiada ertinya bijak bistari
tanpa peribadi berkualiti
Dari itu,
Selamat Bercuti
Cuti sekolah, jangan cuti buku terus...hehe.
Jumpa lagi di penggal akhir!
 
Kiriman oleh widzgeek pada 7:32 PM | Permalink | 1 komentar